Malay Language
Malay Language
Program Bahasa Melayu @WRSS
Matlamat:
Untuk menghidupkan bahasa Melayu dengan memberi peluang kepada para pelajar untuk meraih pengalaman serta melibatkan mereka dalam kegiatan-kegiatan bahasa dan budaya yang akan mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu dan pada masa yang sama, memperkaya pengetahuan mereka tentang budaya.
1) Pertandingan & Program Luaran
-
Pertandingan Bahas4PM pada 25 Feb & 4 Mac 2023
Pertandingan ini dianjurkan oleh Bahas4PM dan disokong oleh MLLPC MOE. Buat julung-julung kalinya, seramai empat orang pelajar 4HML kami menyertai pertandingan ini yang ditandingi oleh 20 buah sekolah menengah lain di Singapura. Wakil -wakil dari sekolah kami telah berjaya menduduki tangga ke-8 dalam pusingan saringan. Walaupun tewas dalam pusingan suku akhir, kami amat berbangga dengan pencapaian para peserta kami yang berjuang habis-habisan sepanjang penglibatan mereka dalam pertandingan ini.
Pendedahan kepada pertandingan bahas membolehkan para peserta kami menggunakan bahasa Melayu dalam situasi yang autentik dan pengalaman ini membuat mereka lebih menghargai bahasa ibunda. Dalam pertandingan ini juga, para peserta kami telah dicabar untuk menunjukkan keupayaan mereka berhujah dengan berkesan dan hal ini pasti menjadikan mereka pelajar yang lebih berdaya saing. Kami juga amat kagum dengan pencapaian dua orang peserta kita yang berjaya menjadi pembahas terbaik bagi pusingan saringan serta pusingan suku akhir. -
Pertandingan Rentas Pentas pada 10 Mac 2023
Pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh NTU ini bertemakan filem-filem klasik Melayu. Ini ialah tahun kedua kami mengambil bahagian dalam Pertandingan Rentas Pentas. Bagi penyertaan kali kedua ini, seramai lima orang pelajar Menengah 2 telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ala ‘Amazing Race’ yang berlangsung di NIE. Berkat usaha mereka yang gigih, mereka berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan ini! Kami amat berbangga dengan pencapaian mereka. -
Pertandingan 3T pada 22 Mac 2023
Seramai tiga orang pelajar 3HML telah diberi peluang untuk menyertai pertandingan yang telah dianjurkan oleh Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) ini. Ini juga merupakan penyertaan kami buat kali kedua. Semasa pertandingan ini berlangsung, para peserta perlu menggunakan pengetahuan dan kebijaksanaan mereka untuk menterjemah. Walaupun mereka sudah membuat persiapan yang rapi berbekalkan bimbingan guru-guru mereka, tekanan hebat tetap dirasakan apabila mereka menghadapi isu kesuntukan masa untuk menterjemah bahan-bahan yang diberikan. Sungguhpun tekanannya hebat, para peserta kami telah mencuba dengan sedaya-upaya dan kami berbangga dengan usaha mereka. -
Pesta Bahasa: Peraduan Pidato Peringkat Sekolah Menengah
Pada tahun 2022, dua orang pelajar kami mewakili sekolah dalam peraduan ini. Peraduan ini dianjurkan bersempena dengan Bulan Bahasa. Perkara yang amat menarik ialah para pelajar kami menyahut panggilan penganjur acara ini untuk mengambil bahagian sungguhpun mereka mempunyai masa yang sangat singkat untuk membuat persiapan. Mereka menunjukkan keberanian untuk mencuba dengan sedaya upaya dan hasilnya ialah salah seorang daripada peserta kami berjaya mendapat tempat yang ke-4 bagi pidatonya. Bukan itu sahaja, beliau juga berjaya mendapat tempat pertama dalam segmen spontan. Kelakonan pelajar kami menunjukkan kebingkasan mereka bersaing dalam arena pertandingan. -
Program Bimbingan Rakan Sebaya MENDAKI atau MENDAKI Peer Mentoring Programme
Program tahunan ini merupakan program yang dianjurkan oleh MENDAKI. Dalam program ini, para peserta diberikan peluang untuk melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang menarik bersama seorang mentor dalam jangka masa sepuluh minggu. Mentor yang digandingkan dengan mereka selalunya mempunyai minat yang serupa dengan para peserta. Selain memberikan nasihat yang baik kepada para peserta, mentor ini juga mendorong mereka untuk terus mengejar kejayaan pada masa hadapan. Bagi penglibatan kami dalam tahun kedua, seramai lima orang pelajar secara suka rela mengambil bahagian. Kami berharap penglibatan mereka dalam program ini akan memberi manfaat kepada mereka dalam membentuk sahsiah diri yang lebih positif
2) Kegiatan Tahunan Dwi-Minggu Bahasa Melayu
- Bagi meningkatkan penghayatan para pelajar kepada budaya Melayu, Unit Bahasa Melayu Sekolah Menengah Woodlands Ring juga menganjurkan pelbagai kegiatan untuk pelajar-pelajar Menengah 1 hingga Menengah 3 sebagai kegiatan paska-peperiksaan. Kegiatan-kegiatan ini dianjurkan dengan tujuan untuk memberikan peluang kepada para pelajar mempelajari budaya Melayu dalam konteks yang berlainan. Melalui usaha ini, kami juga mengharapkan agar para pelajar akan menghargai budaya mereka, di samping mendalami cinta mereka terhadap bahasa Melayu.
Kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan:
3) Apresiasi Drama
- Lazimnya, di dalam bilik darjah, guru-guru mendedahkan para pelajar kepada bahan-bahan video supaya mereka dapat mengapresiasi drama serta filem Melayu. Namun, apabila terdapat peluang untuk menonton drama secara langsung, para pelajar Menengah 3 selalunya diberikan kesempatan tersebut. Setiap tahun, apabila ada pementasan drama Melayu yang sesuai, para pelajar yang berminat akan dibawa untuk menonton drama tersebut. Dengan cara ini, para pelajar akan menyedari bahawa penggunaan bahasa Melayu di Singapura masih relevan dan patut dilestarikan. Apa yang diharapkan ialah para pelajar sedar bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa yang digunakan sekadar di dalam bilik darjah bahasa Melayu atau di rumah, iaitu dalam kalangan ahli keluarga sahaja, namun boleh digunakan dalam bidang kesenian.